Awal 90-an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana-mana
sahaja wanita yang bertudung akan kelihatan. Sama ada di kilang, di sekolah, di
stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik, beberapa pengacara
televisyen dan radio pun sudah memakai tudung.Alhamdulillah, tetapi…..
Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita
bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat-tempat
hiburan,berpegangan tangan dengan teman lelaki, di panggung wayang. Tetapi kini
dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran
dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.
Kalau dahulu juga, wanita bertudung bersih
mukanya daripada calaran alat-alat make up. Tetapi kini, wanita bertudung
mukanya seperti buku warna. Pelbagai warna dan jenis make up yang dilakarkan
pada muka tersebut. Dengan corak dan seni yang menakjubkan, terkadang
membuatkan saya kagum dengan kepantasan dan kekreatifan masyarakat kita.
Tudung pula tidak ketinggalan dihanyut arus
modenisasi yang mana ianya semakin berwarna warni dan mengikut fesyen terkini.
Ada yang pendek, ada yang panjang, ada yang bersimpul, ada yang berenda dan ada
juga yang berlilit bagai sehingga tak mampu diungkap dengan kata-kata. Sungguh
hati ini tidak menafikan kehebatan mereka dalam berfesyen walaupun terkadang
hal itu sukar tercapai di akal.
Namun siapa sangka di sebalik lilitan dan belitan
tudung yang mengagumkan itu, ada sesetengah fesyen tudung yang tidak mampu
menutup aurat wanita dengan sempurna mengikut syariat. Ada yang nak terlondeh,
ada yang labuh di depan tapi singkat di belakang, ada yang jarang sehingga
menampakkan bentuk telinga dan seumpamanya dan tak kurang juga yang dibiarkan
terbuka sehingga mudahnya tercabut dek angin lembut yang membelai. Antara
hendak tutup dengan hendak buka. Err..
Akhlak dan
tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak
memakai tudung atau buka aurat. Sesetengahnya bertudung tetapi tidak
sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita yang menjadikan
tudung sebagai fesyen atau terpaksa
pakai kerana mengikut peraturan. Dulu, wanita yang bertudung akan dilabel
sebagai perempuan yang baik-baik, tetapi sekarang tak lagi.
Kalau dahulu apabila wanita itu bertudung,
automatik dia akan malu untuk ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu
untuk ke tempat hiburan dan sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak
mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke lenbah maksiat.
Bila direnung-renung
mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita atau gadis-gadis
yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan memakai tudung.
Ramai wanita yang memakai tudung hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana.
Mereka lihat adik-beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran mereka telah
ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang tidak
memakai tudung. Lantaran itu, mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung,
walaupun hati mereka tidak berapa menyetujuinya
Kini masyarakat telah
menerima wanita yang memakai tudung. Ujian sudah tidak besar seperti dahulu.
Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang
hendak dikahwininya mestilah bertudung.
Sesetengahnya apabila mereka melihat wanita lain
memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa
mengetahui tentang ilmunya. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana
desakan keluarga atau suami.Ada yang mahu menjadikan tudung sebagai fesyen.
Sekejap pakai, sekejap tak pakai. Lantaran itulah nilai orang yang bertudung
pada hari ini sudah menurun.
